Rabu, 27 Februari 2013

Cintaku Untukmu Bab 5

Bab 5

"Mak, kalau Ja katakan yang ada orang nak masuk meminang Ja mak terima tak?" Soalan yang langsung tidak terduga akan terkeluar dari mulut Jaja itu membuatkan Mak Pah yang sedang sibuk menguli tepung untuk dibuat karipap tersentak dan berpaling mencari wajah anaknya itu.

"Mak tak silap dengar ke, Ja?" Soal Mak Pah pada Jaja kembali.

Jaja menggelengkan kepalanya. Mukanya kelihatan merah merona.

"Alhamdulillah. Mak syukur, Ja. Impian mak akan termakbul." Mak Pah memanjat rasa syukurnya yang tidak terhingga pada Ilahi kerana membukakan pintu hati anaknya itu untuk berkahwin.

"Tapi Ja takut mak tak setuju dengan pilihan Ja." Perlahan sekali suara Jaja di pendengaran Mak Pah.

"Apa maksud Ja?" Mak Pah bingung.

"Dia pelakon. Ja takut mak dengan ayah tak setuju." Jaja maklum sangat ayahnya yang kurang suka dengan artis yang menghitamkan nama mereka dan memalitkan lumpur pada yang lain.

Terbeliak mata Mak Pah memandang Jaja. Jaja menikus.

Kedengaran Mak Pah menarik nafas panjang dan melepaskan satu keluhan.

"Bukan mak dengan ayah yang hidup nanti, tapi Ja dengan dia. Kami tak halang kalu dia benar-benar ikhlas." Suara yang datang dari arah belakang itu amat mengejutkan.

Jaja memeluk Pak Lah.

"Terima kasih, mak, ayah." Mak Pah menyertai Jaja dan Pak Lah. Mereka tiga beranak berpelukan kegembiraan.

Semalam termetrilah ikatan pertunangan antara Jaja dan Zulhuzaimy. seorang lelaki yang tidak pernah diimpikan untuk menjadi tunangnya apatah lagi untuk bergelar suaminya. Seluruh keluarga terkejut dengan berita yang tiba-tiba disampaikan oleh Jaja. Walaupun terperanjat kerana diberitahu pada saat-saat akhir, keluarganya tetap menerima baik kunjungan rombongan meminang keluarga Zulhuzaimy.

"Ja, anak mak sekarang bakal jadi milik orang, hargailah apa yang kita ada. Jangan sia-siakan kasih sayangnya. Belajarlah untuk melupakan Jan."

Mendengarkan kata-kata Mak Pah menbuatkan Jaja menangis.

"Jangan menangis Jaja. Mak percaya, Jan Juga restui pilihan Jaja. Kami semua restu walau siapapun pilihan Jaja. Asalkan Jaja bahagia, kami tumpang bahagia. Bagi kami itu sudah lebih dari memadai." Jaja memeluk wanita yang amat disayanginya itu.

"Cuma satu pinta kami, kami tahu Zul tu seorang pelakon. Dunia seni ni banyak cabaran dan dugaannya, sayang. Kami harap Jaja dapat kawal diri dan pelihara sebaik mungkin rumahtangga yang bakal dibina ini."

Mak Pah mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Kucupan restu dari seorang ibu singgah ke pipi Jaja.

<Zulhuzaimy, saya harap awak takkan mempersia-siakan saya. Saya akan cuba untuk menjadi seorang isteri yang baik dan solehah.>

******

Zulhuzaimy memandu dengan tenang. Jaja yang berada di sebelahnya juga sepi dengan matanya tidak putus memerhati pemandangan di kiri dan kanan jalan. Terasa puas di hatinya dapat menyunting bunga idaman hati. Zulhuzaimy mengalihkan tangannya daripada memegang stering kereta kepada jari-jemari Jaja yang diletakkan di atas pahanya.

Sebaik sahaja tangan Zulhuzaimy berjaya memegang tangan Jaja itu, Jaja berpaling merenung wajah lelaki yang kini bergelar tungannya. Zulhuzaimy membawa tangan Jaja kebibirnya. tangan itu dikucupnya, lembut. Jaja terharu dengan keromatisan Zulhuzaimy.

"Bersediakah awak, Jaja untuk menjadi isteri saya? Saya tahu segala-galanya terlalu pantas tapi bagi saya itulah jalan yang terbaik." Luah Zulhuzaimy tiba-tiba.

Jaja masih tersenyum memandang Zulhuzaimy tanpa sebarang kata.

"Katakan sesuatu Jaja." Pinta Zulhuzaimy dengan lembut.

"Awak hadir tanpa di duga. Pertalian yang kini wujud juga tak pernah terfikir oleh akal saya yang waras. Saya tak kisah siapapun awak, apa taraf awak dan siapa awak dengan masyarakat, yang saya kisahkan cumalah satu iaitu betapa dalam cinta awak pada saya. Sanggupkah awak membahagiakan saya hingga ke akhir hayat kita? Itu saja." Jaja menjawab segala persoalan di hati Zulhuzaimy.

"Jaja, saya hanyalah manusia yang serba kekurangan tapi saya yakin saya akan mencintai awak hingga nafas saya yang terakhir. Tak menyesalkah awak untuk bersama anak seni seperti saya?" Zulhuzaimy seolah-olah menduga.

"Siapa awak, itu persoalan awak dengan masyarakat. Yang penting awak dengan saya. Keikhlasan, kesetiaan dan kejujuran dalam perhubungan itu yang saya tuntut. Saya tak peduli berapa banyak harta yang awak ada. Saya tak kisah siapakah keluarga awak selagi awak masih punya harga diri sebagai seorang manusia." Jaja meluahkan prinsipnya dalam kehidupan.

Dengan matanya yang jernih itu, Zulhuzaimy merenung Jaja yang masih tenang memandang pemandangan sekeliling.

"Awak, sekali lagi saya bertanya pada awak. Awak tak menyesal memilih saya sebagai teman hidup awak?" Jaja membalas genggaman tangan Zulhuzaimy padanya.

Zulhuzaimy memberhentikan kereta di tempat parking kereta peranginan Lata Bayu, Baling. Tanpa menjawab pertanyaan Jaja, Zulhuzaimy melangkah keluar dari kereta dan membukakan pintu buat ratu hatinya.

Zulhuzaimy kembali meraih tangan Jaja sambil berjalan ke pondok rehat, Zulhuzaimy terus membisu dan membuatkan Jaja terlalu berdebar-debar.

"Jawablah, awak. Jangan seksa saya macam ni." Bergetar suara Jaja.

Zulhuzaimy senyum penuh makna.

"Saya tak pernah dan tak akan menyesal, Jaja. Sebab saya dah tanamkan dalam hati saya, bila saya ingin mencintai seseorang itu, saya dah bersedia untuk terima segala keburukan dan kelebihan dirinya. Saya dah bersedia, Jaja. Saya dah bersedia." Zulhuzaimy mengulangi kata-katanya untuk meyakinkan tunangannya itu.

Jaja tunduk membisu.

"Buat masa ini saya perlukan pengertian daripada awak, saya perlukan masa untuk mencintai dan menyayangi awak. Saya benar-benar harapkan pengertian daripada awak." Tegas sekali suara Jaja di pendengaran Zulhuzaimy.

******

Jaja bingung dengan perubahan teman sekerja sejak dia pulang bercuti dua bulan lalu.

"Kami tak faham la dengan kau ni, Jaja. Tup... Tup... kau nak kahwin. Bila kami tanya dengan siapa, kau kata nanti bila tiba harinya kami akan tahu. Dah la tu kau kata kami kenal dengan dia pula. Peninglah kepala kami. Nama dia pun kami rasa macam tak kenal."

Jaja hanya tersenyum mendengar kata-kata Wati, teman sekerjanya yang banyak membantunya sejak dari mula dia dia memulakan tugas di syarikat itu. Mereka juga banyak memberi semangat padanya sewaktu dia mula-mula kehilangan Jan dulu dan mereka juga pernah menegahnya daripada meneruskan hajatnya untuk bertukar ke Taiwan enam tahun lalu.

"Kak Wati, siapa dia itu tak penting kan? Yang penting, kawan-kawan saya akan mendoakan saya agar dapat mencari kebahagiaan yang telah hilang selama ini bersama dengan dia." Pinta Jaja lembut.

"Kami ni bukannya apa, Jaja. kami memang sentiasa mengharapkan kau hidup bahagia selepas semua yang kau lalui, cuma semuanya terlalu mendadak. Dah la kau nak kahwin mengejut, ini nak berhenti kerja la pula. Kau tak menyesal ke? Kedudukan kau sekarang bukan senang nak capai tau! Kau dah banyak berkorban untuk kerjaya kau selama ni." Tambah lagi seorang temannya, Mas.

Jaja tetap tersenyum.

"Walaupun saya dah tak ada di sini, kamu semua tetap dalam hati saya. Syarikat ni banyak membantu saya dan kamu semua saya dah anggap macam adik beradik saya. Jadi saya harap hubungan kita takkan berakhir walaupun saya dah berhenti kerja. Saya berhenti kerja bukan nak jadi suri rumah sepenuh masa, yang sebenar-benarnya saya nak sambung belajar semula. Itu saja. Tunang saya setuju asalkan saya ikut dia ke KL." Jelas jaja dengan panjang lebar.

Teman-temannya hanya mampu mendiamkan diri mendengar penjelasan daripada Jaja itu.

"Maksudnya lepas kenduri nanti, Jaja akan pindah ke KL la?" Soal Zarfan. Selama ini Zarfanlah tempat Jaja berkongsi dan bercerita masalah dan Jaja jarang berahsia dengannya. Tapi keputusan Jaja ini betul-betul melukakan hatinya. Rasa dirinya sebagai abang tidak lagi deperlukan oleh Jaja.

"Jaja, abang harap Jaja akan bahagia dengan pilihan Jaja. Walau siapapun dia, abang harap Jaja akan memperoleh kebahagiaan yang Jaja cari-cari selama ini." Walaupun agak kecewa kerana dibelakangkan, Zarfan tetap mendoakan kebahagiaan Jaja kerana dia tahu betapa susah untuk Jaja menerima cinta orang lain setelah kehilangan Jan dulu.

"Kenapa? Abang takut Jaja takkan bahagia dengan dia?" Sengaja Jaja menduga Zarfan.

"Jaja, abang bukannya orang yang layak untuk menghakimi kebahagiaan Jaja. Bahagia ataupun tidak, Jaja dengan dia yang akan mencorakkannya. Kami sebagai kawan-kawan hanya boleh mendoakan sahaja. Walau apapun abang tetap akan berdoa agar Jaja berbahagia hidup bersamanya hingga ke akhir hayat." eman-teman yang lain mengangguk, mengiakan kata-kata Zarfan.

Jaja mengukir senyum.

"Saya akan tinggalkan sini, tapi saya harap hubungan kita takkan berakhir. Saya sayangkan hubungan kita."

Kak Wati, Mas dan teman-teman perempuan yang lain menghampiri dan memeluk Jaja, tanda semangat dan sokongan daripada mereka.

"Sebenarnya, saya sendiri tak pernah bermimpi untuk menjadi isteri tunangan saya kini, langsung tidak terlintas di fikiran saya. Saya sendiri pun tak sangka akan dilamarnya sebab saya sendiri tidak pernah mengenalinya dengan dekat. Mungkin inilah yang dikatakan jodoh." Jaja memberitahu situasi yang sebenar secara ikhlas pada teman-temannya dan Zarfan rasa bersalah kerana menganggap Jaja telah melupakannya.

Isnin, 25 Februari 2013

Cintaku Untukmu Bab 4

Bab 4

<Duhai hati... kenapa kali ni kau tak memberontak supaya aku tolak cinta Zul? Macam sebelum-sebelum ni... setiap kali ada lamaran dari mana-mana lelaki?>

[Aku dapat rasakan jodoh kau kuat dengan dia.]

<Atas alasan apa? Berkenalan baru dua hari, tup-tup nak kahwin? Gila... kerja gila.>

[Itu kau kata. Tapi pihak dia?]

<Aku takut. Aku takut aku tak mampu untuk menyintainya. Aku tak mahu jadi seorgang isteri yang nusyuz hanya kerana aku tak mampu mencintainya dan cinta aku pada Jan terlalu kuat untuk aku buang.>

Jaja tunduk merenung lantai. Air matanya menitis kembali.

[Apa yang kau dapat? Dia pergi dulu tinggalkan kau.]

<Bukan pinta dia untuk jadi begitu. Dah jodoh kami tiada dan aku bersyukur sebab dia mati dengan cinta aku di hatinya.>

[Susah la cakap dengan kau ni.]

<Susah tak payah nak cakap. Kalau aku terima dia... aku akan curang pada cinta kami dan seolah-olah aku terima dia hanya kerana kepopularan dia. Aku tak mahu macam tu dan aku tak mahu dia kata aku hanya gilakan dia sebagai artis.>

******

"Kalau abang mati sekalipun... Jaja nak jadi macam laut dan pantai."

"Maksud Jaja?"

"Walaupun ombak sering menghempas pantai... pantai tetap menyambut kedatangan ombak dan ombak tak pernah jemu mengunjungi pantai saban ketika. Jaja nak jadi macam tu. Walaupun terpisah berlainan dunia... Jaja tetap hanya cintakan abang dan Jaja takkan jemu mencintai abang. Jaja tak mahu menjadi pengkhianat cinta yang kita bina selama ini." Luah Jaja bersungguh.

"Sayang... Abang tak pernah minta Jaja menyeksa diri sebegitu. Abang pohon kejujuran cinta saat masing-masing masih bernafas. Andai salah seorang tiada... cukuplah sekadar kenangan cinta dan juga secenis doa. Memanglah lumrah manusia sukar melupakan apa yang dicintai tapi hidup mesti diteruskan. doa abang sentiasa bersama Jaja."

Jaja tersentak. Bagaikan tersedar dari sebuah mimpi. Kata-kata Jan sebelum pemergiannya itu bagaikan kaset rakaman yang tiba-tiba berputar untuk memberitahu dan meyakinkannya tentang lamaran Zulhuzaimy dan juga untuk menolak wujudnya pengkhianatan yang dikatakannya pada cinta mereka.

Jaja meraup mukanya perlahan-lahan. Mencari seribu kekuatan untuk menghadapi hidup yang dirasakannya amat menyesakkan sama sekali. Dia duduk termenung. Jaja terus merenung pantai dengan pandangan yang kosong... sekosong hatinya saat itu.

Selepas beberapa jam merenung kosong ke arah pantai, Jaja meninggalkan tepian pantai yang telah lama disinari bulan itu. Jaja langsung tidak menyedari Zulhuzaimy yang merenunginya dari jauh. Sengaja Zulhuzaimy tidak menyapa Jaja kerana mahukan gadisnya itu berfikir dengan sedalam-dalamnya mengenai lamarannya siang tadi. Walaupun dia amat mengharapkan jawapan yang positif daripada Jaja tapi dia tidak mahu mendesak kerana dia takut desakannya akan menyebabkan Jaja menolak lamarannya sedangkan dia rasa dia tidak mampu untuk hidup tanpa Jaja lagi.

[Jaja... Aku amat harapkan penerimaanmu. Aku amat mencintai dirimu. Janganlah kau ragui keikhlasan hatiku walaupun kita baru bertemu, walaupun kita baru berkenalan.]

Dan mata Zulhuzaimy terus mengekori langkah Jaja menyusuri pantai yang sudah menjejak senja.

Keindahan mentari terbenam tidak lagi menarik perhatian Jaja seperti selalu. Ternyata Jaja benar-benar di dalam dilema.

Sabtu, 23 Februari 2013

Cintaku Untukmu Bab 3

Bab 3

"Abang... Jaja tak sabar nak tunggu lagi empat bulan. Jaja rasa Jaja dah bersedia untuk jadi suri abang. sepenuh masa!" Jaja masih di atas ribaan tunang yang amat dicintai sepenuh hati, jan

"Ya ke? Kan selama ni Jaja sememangnya suri abang yang baik!" Balas Jan bersahaja. Sememangnya Jan seorang yang selamba dan bersahaja dalam segala hal. Sikapnya yang begitu sentiasa mengundang rajuk pada Jaja. Tapi cinta Jan pada Jaja juga tiada belah baginya. Mulut sahaja yang jahat tapi hatinya baik. Jaja tahu dan faham sangat perangai Jan yang satu itu. Baginya tiada apa yang lebih membahagiakan dirinya selain berada di sisi dan melayan keletah Jaja.

"Abang..." Rengek Jaja.

"Abang faham maksud Jaja. Abang juga macam Jaja. Impian dan mimpi kita sama saja, sayang!!!" Jan mengusap pipi Jaja dengan lembut. Jaja memegang tangan Jan yang sedang mengusap pipinya saat itu.

"Jaja yakin dengan cinta abang kan? Jaja tau yang abang takkan sia-siakan Jaja kan?"

Jaja masih membisu. Ada genangan air mata di pelupuk matanya. Dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja dia terasa sebak.

"Jangan macam ni sayang. Antara kita langsung tiada rahsia. Abang tak mungkin berpaling daripada cinta Jaja... hanya satu yang boleh pisahkan kita Jaja..."

"Apa dia?" Pantas Jaja memotong. Hatinya terasabedebar-debar mendengar kata-kata yang terbit dari mulut Jan itu.

"Ajal!" Pantas jaja memeluk erat Jan. Tangisnya membuak.

"Jaja tak sangguphidup tanpa abang. Jaja tak dapat bayangkan bagaimana hidup Jaja tanpa abang. Jaja akan gila kalau Jaja kehilangan abang." Esak Jaja kian kuat.

"Abang tau. Abang juga rasa apa yang Jaja rasa. Tapi sayang... ajal maut di tangan Tuhan. Kita cuma merancang...!"

Jaja menggelengkan kepalanya.

"Kalau abang mati sekalipun... Jaja akan jadi macam laut dan pantai."

"Maksud Jaja?"

"Walaupun ombak sering menghempas pantai... pantai tetap menyambut kedatangan ombak dan ombak tak pernah jemu mengunjungi pantai saban ketika. Jaja nak jadi macam tu. Walaupun terpisah berlainan dunia... Jaja tetap hanya cintakan abang dan Jaja takkan jemu mencintai abang. Jaja tak mahu menjadi pengkhianat cinta yang kita bina selama in." Luah Jaja bersungguh-sungguh.

"Sayang... Abang tak pernah minta Jaja menyeksa diri sebegitu. Abang pohon kejujuran dan kesetiaan cinta saat masing-masing masih bernafas. Andai salah seorang tiada, cukuplah sekadar kenangan cinta dan juga secebis doa. Memanglah lumrah manusia sukar melupakan apa yang dicintai tapi hidup mesti diteruskan. Doa abang sentiasa bersama Jaja." Jaja menggeleng kepala tanda tidak setuju. Jan memeluk Jaja erat. Lama. Hamir 15 minit. Kemudian direnggangkan pelukannya. Jan mencium dahi Jaja dengan penuh kasih sayang.

"Jaja... abang sayang Jaja." Entah kenapa Jan meluahkan begitu sedangkan selama ini jarang dia meluahkannya. Sebab bagi Jan, cinta bukan dengan ucapan tapi dengan perlakuan. Jaja meraup ukanya perlahan-lahan. Menyembunyikan rasa hati yang pilu. Tapi pilu di hati mengenangkan tunang yang seperti suami, teman yang paling akrab buatkan dia tewas. Setiap saat dia teringat akan Jan, dia akan menangis, semahu-mahu hatinya. Jan... satu-satunya lelaki yang bertakhta di hati Jaja sejak Jaja mula mengenali dunia cinta 12 tahun lalu. Ketika itu Jaja dan Jan sama-sama dalam tingkatan empat. Jan cinta pertama Jaja dan bagi Jaja, Jan jugalah cintanya yang terakhir. Pemergian Jan enam tahun lalu meragut semua kegirangan dan keceriaan hidup Jaja. Mana mungkin untuk Jaja melupakan Jan yang sentiasa sanggup menunaikan apa jua kemahuan jaja dan jika dia tidak suka dengan kemahuan Jaja, dia akan menolak dengan sehabis halus hinggakan Jaja langsung tidak sedar kemahuannya tidak disukai. Jan disenangi oleh semua kaum keluarga. Mengenang itu semua Jaja makin dibuai kepiluan.

<Abang... Sampai mati pun Jaja tetap cintakan abang.>

******

<Apa yang bersarang difikiranmu, gadisku?>

[Untuk apa kau sibuk?]

<Aku rasa aku dah jatuh cinta.>

[Tapi kau syok sendiri.]

<Belum tahu lagi. Belum cuba belum tahu!!!>

[Sudahlah... tinggalkan saja gadis yang penuh dengan mimpi itu. Hari-hari kerjanya cuma termenung di tepian pantai. Ada kerjaya dan kehidupan ke gadis macam tu?]

<Aku tak peduli apa kerjaya dan bagaimana kehidupan dia. Aku yakin pada keperibadiannya. Aku lebih daripada mampu untuk berkahwin dan menyara sebuah keluarga. Aku tak kisah langsung kalau isteri aku tak kerja. malah aku amat hargainya. Tapi dari gayanya, aku yakin dia bukanlah orang yang gagal dalam hidup.>

[Itu kata kau. bila hati kau dah suka. Macamana kalau dia juga macam gadis-gadis lain? Gadis yang telah rosak dan membawa diri sambil meratapi kesilapan lampau?]

<Kalau dia dah menyesal, aku tak kisah. Asalkan dia dah bertaubat.>

[Bercakap memang mudah. Kau belum hadapinya lagi.]

******

"Assalamualaikum..." Laung Zulhuzaimy.

"Jaja...!"

Kelihatan pintu bilik Jaja dikuak sedikit. Jaja menjengukkan mukanya dengan kepalanya dilitupi tuala mandi yang berwarna merah terang, melindungi rambutnya dari pandangan barangkali.

"Waalaikumsalam." Jawab Jaja perlahan.

"Awak sibuk?"

Jaja menggelengkan kepala mendengar soalan Zulhuzaimy.

"Boleh awak temankan saya makan?"

Riak wajah Jaja bertukar kebingungan. bingung dengan perlawaan yang tiba-tiba itu.

"Dah dua hari kita berkenalan. Apa kata kalau kitakeluar berjalan-jalan dan makan-makan?" pelawa Zulhuzaimy merungkai kebingungan yang melanda Jaja.

"Hm..." Jaja berfikir.

"Awak fikirlah... saya tunggu awak dekat pantai. Kalau awak sudi, saya ada di pantai tapi kalau awak tak sudi tak apalah." Nada suara Zulhuzaimy seolah-olah kecewa.

Sebaik saja habis berkata-kata, Zulhuzaimy berpaling untuk bergerak ke pantai.

"Zul... tunggu!!" Laung Jaja pada Zulhuzaimy.

"Ok... saya ikut."

******

Zulhuzaimy terpegun Jaja. Simple tapi menarik. Jaja terperasan reaksi Zulhuzaimy.

"Ada apa yang tak kena ke pada pakaian saya?"

"Tak... tak... awak tetap cantik dalam pakaian apa sekalipun."

"Saya tak makan puji tau." Balas Jaja bersahaja.

Zulhuzaimy tertawa.

"Kita nak ke mana ni?"

"Jalan-jalan..." Jawab Zulhuzaimy bersahaja.

"Ke mana? Tadi kata nak pergi makan." Soal Jaja tidak puas hati dengan jawapan Zulhuzaimy. Terasa macam dipermainkan.

"Hm... kita jalan-jalan la dulu. Awak lapar ke?" Giliran Zulhuzaimy menyoal Jaja.

"Tak. Kalau nak jalan-jalan, kita jalan-jalan kat pantai boleh?" Balas Jaja.

Zulhuzaimy mengangguk sahaja tanda mengiyakan permintaan Jaja. Lagipun dia sudah tahu yang Jaja pasti mengajaknya berjalan-jalan di tepian pantai. Mereka berdua berjalan perlahan-lahan menyusuri pantai. Zulhuzaimy sengaja bercermin mata hitam dan memakai topi untuk mengelakkan daripada dikenali peminat-peminatnya. Jaja juga berkaca mata hitam tapi dengan tujuan menghalang pancaran matahari yang keterlaluan daripada masuk ke matanya. Silau yang berlebihan mudah menyebabkan Jaja pitam.

"Awak tak takut ke peminat awak nampak?"

"Kenapa mesti takut? Bukan saya buat salah apa-apa. Saya cuma jalan-jalan dengan awak." jawab Zulhuzaimy, tegas demi untuk meyembunyikan debaran di hati di samping mahu menjaga hati Jaja. Memang dia mahu mengelak daripada dikenali peminat. bukan kerana malu tapi dia tidak mahu ketenangan gadis pujaannya itu terganggu dan dia juga mahukan privacy.

"Apa yang awak cari di sini sebenarnya?" Sambung Zulhuzaimy lagi.

"Kenapa awak tanya saya macam tu?" Jaja hairan. Seolah-olah Zulhuzaimy dah lama mengenali dirinya. Bagi Jaja, Zulhuzaimy agak aneh. Zulhuzaimy hanya tersenyum.

"Awak minat saya tak?" Soal Zulhuzaimy tiba-tiba tanpa menghiraukan soalan Jaja tadi.

"Saya?" Pantas Jaja ketawa.

"Kenapa?" Zulhuzaimy tunduk malu. Malu dengan pertanyaannya sendiri.

" Saya tak pernah minat sesiapa. Bagi saya dunia hiburan hanya untuk didengar dan ditonton. Cuma adalah sedikit kekaguman pada artis-artis yang benar-benar berjaya dan tak hanyut dilambung dunia glamour. Seperti awak. Saya kagum dengan lakonan awak yang bersahaja. Awak berbakat."

"Kenapa pula macam tu? Maksud saya, tak ada sesiapakah anak seni macam saya yang awak minat?"

"Saya sukakan awak sebab awak tak ada gosip-gosip liar yang boleh mencemarkan imej awak. Imej awak bersih. Itu yang mengagumkan sebab jarang artis yang bertahan lama terlepas dari gosip liar. Lagi satu... awak ada ilmu, maksud saya kelulusan sebagai bekalan awak dan saya kagum deagan semangat awak." Tutur Jaja dengan penuh yakin. Zulhuzaimy terdiam. Sulit sekali kalau begini

"Maaf kalau saya menyinggung awak."

"Tak... tak... mana ada. Tak ada apa yang buat saya tersinggung. Minat datang dari hati. Kita tak boleh paksa seseorang itu untuk meminati kita. Maksud saya..."

Jaja mengangguk perlahan tanda faham dan membuatkan Zulhuzaimy tidak menyambung lagi kata-katanya.

"Kenapa awak tak kahwin lagi?"

Riak wajah Zulhuzaimy berubah.

"Uiks... soalan cepu emas ni."

Jaja ketawa melihatkan reaksi Zulhuzaimy itu. Terasa tenang hati Zulhuzaimy melihat Jaja tertawa kecil.

[Aku dah berjaya buat dia ketawa.] Zulhuzaimy terasa bahagia.

"Iyelah... taun lepas kan ramai artis yang mendirikan rumah tangga. Awak bila lagi? Nak kata takde rupa, awak ni handsome la juga." Kata-kata yang keluar dari mulut Jaja itu membungakan harapannya pada gadis itu.

"Saya nak kahwin dengan awak."

Bersahaja Zulhuzaimy mengucapkannya seolah-olah bergurau. Walaupun itulah isi hatinya pada gadis itu. Jaja tertawa tanpa menyedari kesungguhan Zulhuzaimy.

"Dunia awak dan saya berbeza. Dan saya pasti kalau itu adalah impian awak, ia takkan jadi kenyataan." Tawa Jaja masih belum reda. Sengaja Jaja melayan kata-kata Zulhuzaimy yang dianggapnya gurauan itu.

"Kenapa? Apa yang berbeza? Awak tinggal kat bulan ke? Ataupun awak ni alien? Tapi saya tak nampak apa yang bezanya awak dengan saya, manusia." Gurau Zulhuzaimy.

Jaja tertawa lagi.

"Ada-ada sajalah awak ni."

"Betul awak nak tahu?"

Jaja mengangguk lagi. Tiba-tiba Zulhuzaimy tertawa.

"Kenapa?" Jaja hairan.

"Awak tu... asyik angguk aje. Macam burung belatuk."

Jaja menyertai Zulhuzaimy tertawa.

Zulhuzaimy terdiam tiba-tiba. Dia menarik nafas dan melepaskan keluhan panjang.

"Saya pernah putus tunang dan ketika itu hanya tinggal sebulan sahaja lagi majlis nak dilangsungkan. Kad-kad undangan semuanya dah dicetak. Cuma tinggal nak edar saja. Sejak itu saya memang betul-betul patah hati. Saya mula membenci cinta. Saya mula lupakan dunia cinta. Cinta terlalu kejam buat saya. Dua tahun saya terumbang-ambing tanpa haluan. Saya sibukkan diri dengan berlakon, menulis skrip, menulis lagu dan bisnes. Sampaikan saya selalu katakan pada diri saya 'NO LOVE NO PAIN'!"

"Sampai macam tu sekali?"

Zulhuzaimy menganggukkan kepalanya lagi.

"Awak berdendam pada cinta yang sebenarnya. Cinta itu indah Zul. Mungkin awak patut memaafkan dan melupakan."

"Saya tak faham apa maksud awak."

Jaja seperti tahus esuatu antara Zulhuzaimy dengan bekas tunangnya, Rahayu.

"Zul... ada antara kawan saya yang kerjayanya sebagai wartawan hiburan. Dia ada beritahu saya yang bekas tunang awak nak kembali ke pangkuan awak. Kalau masih ada ruang di hati awak, terimalah dia kembali." Pujuk Jaja.

"Tak semudah itu Jaja. Hati saya masih terluka dan saya dah ada pilihan hati saya sendiri."

"Oh.. ye ke? Habis tu bila nak langsung?"

"Hehehehe.... tapi dia tak tahu yang saya suka kat dia."

"Laa... kanapa macam tu?"

Zulhuzaimy hanya tersengih... sambil menyimpulkan rahsianya rapi-rapi. Suasana sepi tiba-tiba.

"Awak pula bagaimana? Dah kahwin?"

Jaja menggelengkan kepala. Zulhuzaimy menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia rasakan peluang untuknya terbuka luas.

"Awak pula kenapa tak kahwin?" Zulhuzaimy membalas pertanyaan Jaja tadi.

Kedengaran seprti mahu memulangkan paku buah keras di pendengaran Jaja tetapi sebenarnya Zulhuzaimy ingin menyelami kolam hati gadisnya itu. Jaja menarik nafas dan melepaskan keluhan panjang. Jaja mengukir senyum, memberi semangat untuk diri sendiri.

"Awak okey?"

Kelihatan kesayuan di wajah gadisnya itu. Jaja tersenyum hambar dan berpaling memandang ke arah Zulhuzaimy yang setia menanti jawapan dari Jaja.

"Cinta saya dah berkubur enam tahun lalu, awak. Tapi saya bahagia sebab saya tahu dia cintakan saya dengan sepenuh hatinya."

"Maksud awak?"

Jaja diam. Air mata mula tergenang di pelupuk matanya. Tapi dia cuba menahan. Dia tidak mahu menangis di hadapan Zulhuzaimy.

"Enam tahun lalu... dia pergi tinggalkan saya untuk selama-lamanya. Dia bawa cinta dan kehidupan saya sekali. Saya yang ada sekarang bukan lagi saya yang dulu. Saya pernah tinggalkan kampung halaman dan Malaysia untuk lupakan semuanya tapi saya tak mampu. Empat tahun di rantau orang buatkan saya kuat tapi saya tetap tak mampu untuk melupakan dia apatah lagi cintanya pada saya selam hanyatnya. Saya dapat rasakan dia sentiasa bersama-sama saya dalam setiap langkah saya. Dia cinta pertama dan terakhir saya."

"Awak terlalu cintakan dia?"

"Teramat sangat. Bagi saya, tak ada orang lain yang boleh cintakan saya sebagaimana dia."

"Maksud awak?"

"Kami bercinta ketika masih di tingkatan empat. Enam tahun kami menyulam cinta tanpa wujudnya pengkhianatan... tanpa keraguan. Cinta  kami sentiasa dibajai dan dibungai dengan kasih sayang. Walaupun sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir dia sempat berpesan untuk saya berkahwin kalau ada lelaki lain yang boleh mencintai saya lebih daripada dia namun hati saya bagaikan tertutup langsung untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki. Lagipun bagi saya, lelaki macam itu tak wujud."

"Tapi itu tak mustahil. Saya sanggup mencintai awak dengan sepenuh hati saya."

"Zul..."

"Maafkan saya, Jaja. Mungkin saya keterlaluan. tapi saya harus luahkan sebab saya takut peluang ini takkan berulang."

"Maksud awak?"

Kata-kata Zulhuzaimy itu membuatkan Jaja bingung.

"Saya mula menjadi mengunjung pantai dan chalet ini sejak tiga tahun lalu.Sejak dari mula saya terpandang awak dan kesunyian awak. Saya jatuh cinta pandang pertama dengan awak. dari pemilik chalet ini saya dapat tahu yang awak akan berada di sini saban tahun pada tarikh yang sama. Sebab itu saya jejaki awak dan kali ini saya tak sanggup lagi tinggalkan pulau ini tanpa berterus terang dengan awak."

Jaja ternganga. Semua itu bagaikan ilusi.

"Saya tahu yang saya terlalu cepat berterus terang tapi saya takut terlambat. Itu akan buat saya lebih menyesal. Peluang ini bukannya datang berkali-kali. Saya takut kalau saya lepaskan peluang kali ini saya mungkin takkan berpeluang lagi."

"Awak takkan cintakan saya kalau awak tahu kelemahan dan keburukan saya."

"Saya tahu saya tak sebaik arwah tunang awak tapi tolonglah beri saya peluang. Kita kahwin. Saya tak mahu bercinta ataupun bertunang lama-lama. Saya yakin pada pilihan saya. Saya takut nak bercinta lagi."

"Awak... tolonglah faham keadaan saya. Jurang antara kita terlalu jauh dan antara kita saling tidak mengenali."

Jaja terpaksa bertegas. Takut dia melayan impian gila Zulhuzaimy itu.

"Saya tak kisah apa yang berlaku pada zaman silam awak. Saya cuma nakkan masa depan awak. Itu saja."

Jaja nangis. Zulhuzaimy kaget.


"Maafkan saya. Saya terburu-buru."

<Kenapa aku tak kuat melawan hati ini?>

[Sudah masanya kau punya hidup sendiri.]

"Awak akan menyesal kalau awak nikahi saya."

"Saya takkan menyesal. Saya janji."

"Jangan mudah berjanji, awak."

Zulhuzaimy memandang Jaja dengan seribu tanda tanya.

<Duhai gadis bertrue-teranglah. Aku juga sanggup terima walaupun andai kata kau telah ternoda. Aku sanggup menelan semuanya asalkan kau sudi menjadi suri hidupku.>

"Saya benar-benar ikhlas. Kalau wak mahu... esok kita balik. Lusa saya hantar rombongan merisik dan esoknya kita bertunang. Minggu depan kita kahwin."

"Awak gila. Awak ingat saya ni anak ayam itik ke nak kalut-kalut macam tu?"

"Memang saya gila... saya gilakan awak."

"Saya takut saya tak mampu mencintai awak."

"Maksud awak?"

"Saya mencintai dia sepenuh hati. Saya takut awak akan kecewa menagih dan mengharap kasih daripada saya. Saya tak mahu jadi isteri yang nusyuz." Jaja menangis lagi.

Zulhuzaimy terdiam dan seketika kemudian dia kembali tersenyum.

"Jaja... itu masa silam awak. Saya dah kata saya sanggup terima apa jua kekurangan awak asalkan awak sanggup terima saya sebagai suami awak. Cinta boleh dipupuk selepas kahwin."

Jaja terus diam.

"Kita bina hidup baru. Saya cuma minta kesetiaan dan kejujuran awak pada saya. Cintai awak sebagaimana awak mencintai dia, perlahan-lahan. Saya tak minta awak lupakan dia tapi berilah saya peluang untuk membina hidup bersama awak."

"Awak tak menyesal?"

Zulhuzaimy menggelengkan kepala mendengar soalan Jaja yang berulang itu.

"Sikit pun tak." Balas Zulhuzaimy untuk meyakinkan hati Jaja.




Cintaku Untukmu Bab 2

Bab 2

Zulhuzaimy tersenyum lega. Sebaik sahaja selesai penggambaran drama bersiri terbarunya di Alor Setar tadi, dia terus mengambil feri ke Langkawi. Dia tahu gadisnya pasti ada di chalet itu setiap tahun... genap tarikh 10 Februari, gadisnya akan berada di sana seolah-olahmeraikan sesuatu. Valentine's day barangkali. Tapi kalau menyambut Valentine's Day, masakn setiap tahun berseorangan dan semua orang tahu Valentine's Day disambut pada 14 Februari, bukannya 10 Februari? Selama ini dia sentiasa di buru gadis-gadis dari seluruh pelusuk negara, Brunei dan Singapura. Dia sentiasa menjadi pujaan gadis-gadis yang gilakan lakonannya. Wajahnya yang manis dan tenang itu sentiasa mencuit hati para peminatnya dari golongan gadis. Tapi semenjak tiga tahun yang lalu... dia langsung tidak menghiraukan mana-mana gadis yang mengejarnya, malah kini dia pula yang mengejar gadis pujaannya. Siapa dia? Hanya dia yang tahu.

Sebaik sahaja feri Champur Tiga berlabuh, Zulhuzaimy terus ke kaunter untuk menyewa kereta buat kemudahannya di pulau bebas cukai itu. Pantas kereta Proton Wira berwarna hitam itu meluncur ke destinasinya, AB Motel.

<Gadisku... aku rindu padamu!> Seru hatinya.

Tiga tahun dia cuba menghampiri gadis itu tapi hampa. Dia yakin dengan cintanya kali ini. Walaupun dia tidak ubah seperti mengejar bayang-bayang. Dia bosan bercinta dengan orang terkenal. Dia bosan dengan hidup dalam dinua glamour...! Dia inginkan kehidupan yang normal, bersama dengan orang yang dia cintai... orang yang tak kenal erti 'glemer'. Bukan dia menghina atau menyisih orang 'glemer' mahupun orang seni sedangkan dia juga dari kalangan itu.

Zulhuzaimy tekad kali ini dia mesti menyapa gadis itu. Sekurang-kurangnya dapat dijadikan kenalan. Sebelum dia meluahkan rasa hatinya yang telah tiga tahun terpendam. Inilah kali pertama dia jadi sasau kerana seorang gadis setelah kecewalebih lima tahun lalu. Dua tahun dia kecewa. Entah kenapa dia jatuh cinta pandang pertama dengan gadis itu. Dia yakin gadis itu sendiri. Dia ingat lagi kali pertama dia terpandangkan kesayuan wajah dan mata gadis itu, seolah-olah tersimpan seribu cerita duka dalam hidupnya. Matanya asyik merenung pantai. Setia bersama pantai.

Zulhuzaimy akan ke Pulau LAngkawi saban tahun. Sekurang-kurangnya setahun sekali. Tapi pada tarikh 10 Februari dia pasti akan hadir di chalet itu. Chalet itu seolah olah telah ter'booking' untuknya kerana dia tidak mahu chalet lain kecuali chalet RC-23. Sejak tiga tahun lalu, dia menjadi pengunjung setia Pulau Lagenda itu untuk setiap tahun hanya kerana gadis itu.

Setengah jam memandu, Zulhuzaimy sampai ke AB Motel.Nasibnya baik kali ini. Dia dapat chalet yang betul-betul bersebelahan dengan chalet gadisnya itu. Dia ternampak gadisnya memasuki chalet itu. Dia berlalu tanpa memandang ke arah Zulhuzaimy dahulu. Seolah-olah Zulhuzaimy tidak pernah wujud di situ.

Zulhuzaimy hairan dengan gadisnya itu. Dia seolah-olah hidup dalam dunia yang terasing daripada orang. Dunia yang kosong tanpa penghinu lain aselain dari dirinya. Dan dia juga ingin menyertai dunia kosong gadisnya itu. Tapi bagaimana? Dia sendiri tidak tahu caranya walaupun hatinya sudah cukup memberontak dengan anganan gilanya itu.

<Gadisku... Aku sentiasa mengharapkan yang terbaik dalam hidup ini dan aku dapat rasakan kaulah gadis yang aku cari dan kaulah yang terbaik buat diriku walaupun kita tak pernah berkenalan.>

<Tahukah kau, gadisku. Setiap saat ku dambakan kehadiranmu.>

[Dia mungkin milik orang, Zul.] Akalnya cuba mewaraskan hatinya. Menyedapkan hati sendiri yang sebenarnya.

<Tak mungkin dia milik orang. Dah dua tahun aku tengok dia sendiri. Bukannya aku tak tanya tauke chalet tu. Dia sentiasa sendiri. Dah lima tahun dia macam tu. Datang pada tarikh yang sama dan aku dapat rasakan dia sebenarnya sedang kehilangan.> Zulhuzaimy cuba menenangkan hatinya sendiri.

Telah ditanamkan tekad di dalam hatinya. Walau apa pun terjadi, gadis itu pasti akan disapanya. Kalau gadis itu bukan milik sesiapa, gadis itu akan disuntingnya dengan apa cara sekalipun.

[Kau seperti orang gila.]

<Ya. Aku gila. Aku gilakan dia.> Hati dan akalnya terus berperang.

[Macamana kalau dia perempuan yang telah rosak dan bawa diri kerana kecewa?]

<Aku tak kisah siapapun dia. Kalau benar dia begitu, aku sedia membimbing dia asalkan dia sudah bertaubat dan menyesal.>

[Bercakap memang mudah, Zul.]

<Aku tekad. Aku takkan berganjak lagi!> Hati Zulhuzaimy memang sudah tetap untuk melamar gadis misterinya itu.

*****

Hari ini selepas sahaja selesai subuh, Zulhuzaimy sengaja berjogging di tepian pantai untuk mngambil angin sambil-sambil mencari gadis misterinya itu. Zulhuzaimy seakan berputus asa kerana langsung tidak kelihatan gadisnya. Zulhuzaimy melangkah longlai untuk kembali ke chaletnya akan mencari sarapan pagi.

Tiba-tiba matanya tertangkap pada sebatang tubuh yang sedang berjogging dan datang dari arah yang bertentangannya dan menuju ke bawah pokok tempat biasa dia berlabuh. Selepas melakukan beberapa senaman ringan, gadisnya melabuhkan punggung di atas pepasir pantai yang halus di bawah redup pohon itu.

Hampir lima belas minit Zulhuzaimy terpaku melihat setiap gerakan gadisnya.

[Aku mesti ambil peluang ini.]

<Kau yakin?> Akalanya cuba menduga.

[100% yakin.]

<Good luck, Zul>

[Uiks... sokong pulak.] Pintas hatinya.

<Kita kan satu!> Balas akalnya.

Zulhuzaimy melangkah menghampiri gadisnya itu.

Perlahan-lahan gadis itu dihampiri. Langkah Zulhuzaimy langsung tidak disedarinya.

"Assalamualikum..." Sapa Zulhuzaimy sopan.

Gadis itu masih hanyut dalam dunianya.

"Assalamualaikum..." Zulhuzaimy menguatkan sedikit suaranya dengan tujuan mengejutkan gadisnya daripada khayalan.

"Ah... Ha... waalaikumsalam..." jawabnya sedikit gopoh. Terkejut barangkali.

Dia mengukir senyum buat Zulhuzaimy. Zulhuzaimy dapat merasakan kehambaran pada senyuman itu. Senyuman yang seolah-olah terpaksa kerana menghormati orang.

"Saya Zulhuzaimy..." Zulhuzaimy menghulurkan salam perkenalan. berbahasa walaupun terasa diri mungkin sudah dikenali.

"Jaja." Jawabnya rigkas.

"Boleh saya duduk?" Pinta Zulhuzaimy cuba berbahasa lagi.

"Silakan... lagipun pantai ni bukan saya yang punya." Jawab Jaja bersahaja.

Zulhuzaimy hanya tersenyum.

<Boleh tahan juga.>Desis hati Zulhuzaimy sendiri.

"Sendirian merenung pantai?" Mula Zulhuzaimy.

"Seorang saja?" Jaja tak menghiraukan soalan Zulhuzaimy dan menyoal Zulhuzaimy kembali.

"Jaja kenal saya?"

<Tahu dunia juga. Ingatkan dah khayal sampai tak ingat dunia lagi.>

"Masakan saya tak kenal dengan awak. Seorang pelakon dan penggiat teater yang terkenal." Jawab Jaja selamba.

"Saya sendirian, seperti awak juga." Balas Zulhuzaimy.

"Pelik." Balas Jaja sepatah.




Sabtu, 16 Februari 2013

Cintaku Untukmu Bab 1

Bab 1

Jaja terus merenung pantai yang dihempas ombak berulang kali. Walaupun berterus-terusan dihempas. Perlahan atau kuat, mereka tetap tidak berubah. Tetap merelakan diri mereka dihempas. Alangkah setianya pantai pada ombak.

<Aku nak jadi macam pantai. Tetap setia walau apa jua! Walau sakit walau perit.> Jaja berkata sendiri.

[Tapi itukan dah lumrah alam. Dihempas dan menghempas.] Hatinya yang tak setuju menjawab.

<Dan aku juga tak lari dari lumrah alam! Apa bezanya aku dan alam. Bezanya cuma aku yang terhempas tapi aku tidak menghempas.> Jaja mempertahankan dirinya.

<Walaupun aku dan dia terpisah dalam dua alam yang berbeza, aku tau cinta kami tak pernah mati. Dia mencintai aku hingga saat terakhir nafasnya. Mana mungkin aku melupakan dia. Pemergiannya bagaikan menghempas hatiku. Hatiku berkecai dan berderai seperti kaca yang dihempaskan ke batu.> Jaja merayu pada akal.

[Dia dah enam tahun pergi, Ja. Yang mati tetap mati. Tapi kau masih hidup. Kau perlu ada kehidupan. Usia kau dah masuk 28 tahun. Kau nak jadi anak dara tua?] Bantah hatinya.

Jaja terus merenung pantai. Hanyut dalam alam ciptaannya sendiri. Pandangannya terus dilemparkan ke laut lepas di Pantai Chenang itu. Betapa asyik dia menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan itu. Tidak jemu-jemu dia dengan alunan deruan ombak menghempas pantai. Tidak jemu dia bercinta dengan hembusan angin pantai yang sentiasa menyapa wajahnya dengan lembut. Terasa damai dan asyik.

Itulah dia Jaja. Seorang wanita yang berjaya dalam kerjayanya tapi bukan dalam hidup peribadinya. Jaja terus asyik bersama dengan memori-memori indah hidupnya yang lalu. Hanya kerana itulah Jaja akan terlempar ke persisiran Pantai Chenang itu saban tahun.

"Abang, Jaja rindukan abang." Itulah kalimah yang sentiasa meniti bibir mungilnya. Kalimah yang tidak pernah jemu diungkapkan.

"Abang, Jaja kembali ke sini lagi." Perlahan Jaja menuturkan luahan hatinya.

Angin yang bertiup terus membelainya. Jaja memperbetulkan tudung putih yang dipakainya. Senget ditiup hembuan bayu petang. Kaca mata bewarna biru ditanggalkan dari terus bertenggek di atas hidungnya, yang selama ini melindungi pandangannya dari terik mentari.

Jaja menarik nafas panjang dan melepaskan satu keluhan berat di pendengaran, sedangkan matanya masih belum lepas daripada laut yang luas terbentang dihadapannya. Hatinya berkocak apabila melihat pasangan teruna dara riang ria memadu kasih bersama di tepian pantai. Alangkah bahagia dan indahnya saat-saat itu. Dia cemburu pada mereka yang melalui saat-saat itu.

Dulu juga Jaja begitu. Senantiasa riang bersama tunang yang amat dicintainya dengan sepenuh hati. Sememangnya kebahagiaan memang pernah menjadi miliknya tetapi itu hanya enam tahun dulu. Kepiluan ditinggalkan amat menyesakkan dan melemaskankehiduapan Jaja kerana Jan adalah cintanya yang pertama dan baginya hanya Jan yang mampu mencintainya dengan sepenuh hati.

Hanya kerana kepulangan Jan ke rahmatullah enam tahun lalu, Jaja menerima tawaran dari syarikatnya bertukar kerja ke Taiwan dan dia berada di sana selama empat tahun. Namun, empat tahun di Taiwan, tidak pernah dapat meluputkan ingatan Jaja pada Jan yang amat dicintainya. Walaupun empat tahun di Taiwan, Jaja tetap selalu pulang ke Malaysia kerana tuntutan tugas yang memerlukannya berulang alik antara Taiwan dan Malaysia.

Jaja akan memastikan pada tanggal 10 Februari setiap tahun dia akan berada di pulau lagenda ini. Menyambut ulang tahun hubungan cinta mereka yang tidak pernah luntur. Dan kini Jaja kembali ke Malaysia sejak dua tahun yang lalu dan mungkin untuk selama-lamanya.

Masih segar di ingatannya, semasa di bumi Taiwan, dia sering membawa diri ke Green Island ataupun Lutao. Terasa amattenang dengan keindahan alam yang mempersonakan itu. Walaupun perjalanan ke sana agak memenatkan, Jaja tetap akan ke Lutao, kerana dia berasakan ketenangan selepas dibelenggu kesibukkan tugas dan rutinnya di Taipei. Perjalanan dengan kapal terbang dari Taipei ke Taitung mengambil masa lebih kurang 50 minit dan dari taitung dia akan mengambil feri ke pulau hijau itu. Pelayaran selama hampir sejam itu sentiasa menggamitnya, hanya kerana keindahan dan kedamaian dia sanggup mengharungi perjalanan hampir dua jam itu.

Sering hati dan akalnya bergaduh hanya kerana berbeza pendapat. Hatinya memintanya agar terus setia bersama cinta Jan sedangkan akalnya pula memintanya melupakan Jan dan memulakan hidup baru. Hanya kerana itulah Jaja bertukar ke Taiwan tapi, Jaja tetap Jaja. Cintanya tetap pada Jan.

[Aku tak mungkin akan jatuh cinta pada lelaki lain.] Hatinya mempertahankan arwah tunang kesayangannya.

<Tapi sebagai wanita yang sempurna kau tak dapat lari daripada tuntutan alam. Kau perlukan lelaki sebagai teman hidup. Itulah wanita yang sempurna!> Akalnya masih cuba mendesak Jaja melupakan Jan.

[Tapi aku tak sanggup melupakan dia. Aku tak sanggup mengkhianati cinta kami.] Hatinya menolak kata-kata akalnya.

<Siapa kata kau akan mengkianati cinta itu. Kau akan hanya bergelar pengkhianat cinta kalau dia masih hidup, tapi dia dah lama mati. Dah enam tahun Jaja. Dah enam tahun!> Jerit akal Jaja.

[Tak mungkin ada lelaki lain yang mampu mencintai aku sebagaimana dia.] Jaja tetap mempertahankan cintanya pada Jan.

[Mana mungkin untuk aku berkahwin dengan lelaki lain sedangkan dalam jiwa aku tak pernah wujud ruang untuk insan yang bergelar lelaki selain daripada dia. Aku tak mau hidup lelaki yang menjadi suami aku sia-sia dan aku juga tak mahu hidup aku tak keruan, tak ada hala tuju.] Jaja masih terus berperang dengan hatinya.

<Jaja. Kau memang bodoh. Apa gunanya kau terus begini? Saban tahun kau akan ke sini. Bercuti konon! Kau boleh bohongi semua orang tapi bukan aku. Aku akal kau sendiri. Kau ke sini semata-mata kerana di sinilah kenangan cinta kalian yang paling manis. Aku saksi kenangan itu. Apakah itu tidak akan mensia-siakan diri kau? Kalau bukan sia-sia, apa yang kau panggil semua ni?>

[Cukup akal, cukup!!! Jangan didera lagi hati aku! Salahkah aku ke mari untuk berehat? Salahkah aku kalau aku inginkan ketenangan? Salahkah aku kalau aku merinduinya?] Soal Jaja bertalu-talu pada hatinya.

<Salah tu tak salah kalau kau sekadar merindui dan mengenanginya. tapi ia dah memudaratkan bila kau sia-siakan umur kau kerana dia. Kau perlu teruskankehidupan yang ada dengan sempurna, Jaja.>

[Apakah hidup aku belum cukup sempurna? Aku berjaya dalam kerjaya aku. Aku punya kehidupan sendiri dan aku bahagia hidup begini.] Jaja mempertahankan kehidupannya.

<Hidup seorang wanita takkan sempurna tanpa seorang lelaki bergelar suami, Jaja. Jangan kau nafikan kenyataan itu.>

Jaja terdiam terdengarkan itu. Dia melepaskan keluhan berat. Jaja bangun dari atas pasir. Dia mengibas-ngibas punggungnya. Dia memperbetulkan tudung dan pakaiannya supaya kembali kemas. Bayu laut yang bertiup amat menyegarkan. Tapi hatinya tak sesegar itu.

Sejak enam tahun lalu dia pasti akan ke sini. AB Motel di Pantai Chenang, Langkawi itu... sekurang-kurangnya untuk seminggu! Walaupun sudah enam tahun tunangnya kembali ke rahmatullah, dia tetap merasakan tunangnya masih hidup! Masih bersamanya.

Jaja menyusuri pantai. Di pantai itulah dia menyulamcita bersama tunangnya yang tercinta. Segala kenangan itu bagaikan sentiasa hidup bersamanya. Tawanya. Tangisnya. Di situlah dicurahkan segala rasa yang terpendam sejak enam tahun yang lalu.

Cinta yang terkubur. Terpisah antara dua alam itu tidak pernah menyusutkancintanya buat satu-satunya lelaki yang dia cintai sejak dibangku sekolah itu. Cinta yang dipupuk ketika zaman remaja itu terus membelenggunya walaupun arwah tunangnya telah meredai untuk dia bersama lelaki lain selepas dia pergi. Namun bagi Jaja, cintanya hanya buat Jan. Jan hanya satu, bukan dua atau pun tiga.Tiada siapa yang mampu untuk mencintainya seperti tulusnya Jan mancintainya.

Jaja terus terbelenggu dan hidup dalam mimpi. Berkali-kali pinangan yang masuk ditolak. Kerisauan ibu bapa dan kaum keluarga ditolak tepi. Nasihat teman-teman dan kaum kerabat bagaikan mencurah air ke daun keladi. Segalanya sia-sia.

Demi Jan, Jaja telan segala kepahitan hidup sendirian. Hanya untuk Jan yang telah pergi enam tahun lalu dan demi cinta yang tidak pernah susut, apatah lagi mati. Segalanya demi cinta itu.

<Terserahlah Jaja. Kau dah cukup dewasa. Kaupatut tahu hala tuju kau, masa depan kau. Tapi fikirkanlah, Jaja.> Akalnya lebih senangmembiarkan Jaja berfikir sendiri.

Cheesy Shrimp Olio. Bahan-bahan: Bawang putih (cincang) Butter (unsalted) Oil (Olive oil) Parsley flakes Red bell pepper/capsi...