Ahad, 30 Mac 2014

Kurangkan Bunyi Menumbuk

Ha... ni pengalaman hidup berjiran masa saya duduk di rumah flat dulu. Jiran memang rajin memasak. Pagi-pagi dah menumbuk guna lesung batu... Naik pening kepala dengar bunyi dentuman lesung bergema. Maklumlah rumah flat. Ni nak beritahu cara yang paling senang nak kurangkan bunyi bising semasa menumbuk menggunakan lesung tu. Alas dengan lapisan tebal kain buruk di bawah lesung batu. Lagi tebal lagi bagus. Kain tu secara tak langsung akan menyerap bunyi bising semasa menumbuk. Selamat mencuba....

Rabu, 12 Mac 2014

Akibat Terlalu Tamak dan Sombong

Read by Amirul on 11 March 2014

Pada zaman dahulu di dalam sebuah daerah, tinggal seorang saudagar yang sangat kaya, bernama Karim. Karim mempunyai banyak harta. Rumahnya besar. Pakaiannya beraneka jenis dan diperbuat daripada kain-kain yang amat bermutu serta mahal harganya.

Di dalam rumah mewah Karim, terdapat sebilangan besar pembantu yang sentiasa bersedia untuk melaksanakan apa-apa sahaja keinginan Karim. Sememangnya Karim sangat bertuah kerana dapat menikmati hidup yang sangat mewah.

Walaupun Karim adalah daripada golongan yang kaya-raya, dia tidak pernah bersedekah atau melakukan sebarang kebajikan.

Bukan itu sahaja, Karim juga tidak pernah mengucapkan perkataan yang baik-baik dan sering menyakiti hati penduduk-penduduk daerah yang miskin. Karim sering bercakap bohong dan meninggikan dirinya.

"Aku orang kaya! Tidak seperti kamu semua yang hidup miskin dan merempat!" kata Karim dengan sombong dan megahnya.

"Lihatlah hidup aku... serba-serbi mewah... hati pun senang!" sambung Karim lagi.

Akibat terlalu menyombong diri, semua penduduk di dalam daerah itu tidak suka kepada Karim.

"Huh! Sombong betul saudagar kaya itu... benci pula aku melihatnya!" kata salah seorang penduduk di situ.

"Tidak lama lagi tentu dia akan mendapat balasannya," balas yang seorang lagi.

Karim tidak mengendahkan kata-kata mereka. Dia tetap dengan sikapnya yang sombong itu. Karim mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Salmah. Salmah ialah seorang gadis yang baik budi dan tidak suka meninggikan diri walaupun dia anak kepada seorang saudagar yang kaya-raya.

Setiap hari, ada sahaja penduduk-penduduk di daerah itu datang berjumpa dengan Salmah untuk mengadu. Dia akan mendengarnya dengan penuh teliti dan akan cuba menyelesaikan segala masalah sebaik yang mungkin. Penduduk-penduduk daerah itu amat memuji-muji tentang kebaikan anak perempuan Karim itu.

Salamah akan memberi bantuan kepada penduduk-penduduk yang memerlukannya. Dia akan memberikan makanan dan sedikit wang. Walau bagaimanapun perbuatannya itu dirahsiakan daripada pengetahuan bapanya.

Salmah amat bimbang sekiranya bapanya tahu, tentu dia akan dimarahi oleh bapanya. Jika bapanya mengetahui ada sesiapa yang diberikan sedekah, pasti dia akan mengamuk. Tentulah Salmah akan berasa amat malu sekiranya bapanya berkelakuan begitu.

Pada suatu hari, sewaktu Salmah sedang duduk sambil menyisir rambutnya, tiba-tiba dia ternampak seorang peminta sedekah yang sudah tua dan uzur berjalan masuk menuju ke dalam taman. Peminta sedekah itu berpakaian compang-camping dan sangat kotor.

Tidak berapa lama kemudian, beberapa orang pembantu berlari ke arah peminta sedekah sambil menghalaunya supaya keluar dari taman tersebut.

"Keluar! Apa yang kamu inginkan di sini?" kata salah seorang daripada pembantu.

"Saya sangat lapar...," jawab peminta sedekah.

"Lapar? Tidak ada makanan di sini! pergi cari di tempat lain," balas pembantu orang kaya itu dengan garang.

Karim yang sedang tidur di atas katil terdengar suara riuh-rendah di luar rumahnya. Dia pun segera bangun untuk melihat perkara yang sedang berlaku.

"Apa yang kamu inginkan di sini?" tanya Karim.

"Maafkan saya tuan, bolehkah saya meminta sedikit makanan? Sudah beberapa hari saya tidak menjamah makanan," jawab peminta sedekah itu.

"Makanan? Baiklah, aku akan berikan engkau makanan yang lazat-lazat!" kata Karim.

Kemudian Karim segera memanggil pembantu-pembantunya dan membisikkan sesuatu yang tidak boleh didengari oleh anak perempuannya, Salmah dan juga peminta sedekah tersebut. Salmah merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sikap bapanya itu.

"Mengapa bapa tiba-tiba sahaja berubah sikap? Mungkin ada udang di sebalik batu. Biar aku intip apa yang telah disuruh oleh bapaku kepada pembantu-pembantu itu," kata Salmah di dalam hati.

Lalu Salmah pun melihat apa yang dilakukan oleh pembantu-pembantu bapanya itu.

Peminta sedekah itu menunggu dengan penuh harapan agar dapat menikmati makanan yang dijanjikan oleh saudagar tersebut.

"Baik sungguh hati saudagar kaya itu... aku amat bertuah kerana dapat berjumpa dengan saudagar kaya itu," fikir peminta sedekah.

Sementara itu, Salmah melihat pembantu-pembantu bapanya sedang mengambil sebiji pinggan lalu diletakkan pasir dan juga batu-batu kecil. Salmah tidak menyangka bahawa bapanya sangat busuk hati dan tamak dengan kekayaannya.

Pembantu-pembantu itu pun keluar lalu diberikan pinggan yang berisi pasir dan juga batu-batu kecil itu kepada peminta sedekah tadi.

"Nah! Makanlah dengan sepuas-puas hati kamu. Ha! Ha! Ha!" kata Karim sambil ketawa terbahak-bahak.

Peminta sedekah itu amat kecewa dengan sikap buruk saudagar kaya itu dan terus berjalan meninggalkan mereka.

"Kamu akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan kamu," kata peminta sedekah itu.

"Ah! Jangan kau hendak bersyarah pada aku, pergi! Benci aku melihat orang miskin seperti kamu ini!" balkas Karim dengan sombongnya.

"Baiklah, aku akan pergi dari sini," jawab peminta sedekah.

"Bapa tidak patut menzalimi orang yang miskin dan susah seperti peminta sedekah itu... kasihan!" kata Salmah.

"Kamu tidak tahu apa-apa dan lebih baik kamu tidak mengganggu segala kerja bapa. Pergi masuk ke dalam!"

"Saya malu dengan sikap bapa yang sungguh tamak dan sombong itu," kata Salmah lalu segera berlari masuk ke rumah.

Salmah mengambil beberapa buku roti dan buah-buahan lalu dimasukkan ke dalam sebuah bakul. Salmah berjalan perlahan-lahan agar pembantu-pembantu bapanya tidak menyedari bahawa dia keluar untuk berjumpa dengan peminta sedekah itu tadi.

Tidak lama kemudian, Salmah pun berjumpa dengan peminta sedekah yang sedang duduk berehat di bawah sebatang pokok yang rendang.

"Pak cik, ambillah makanan ini untuk mengalas perut pak cik yang kosong itu," kata Salmah.

"Terima kasih nak," balas peminta sedekah.

"Maafkan bapa saya kerana telah menghina dan menzalimi pak cik," rayu Salmah.

"Sikap bapa kamu amat buruk dan pasti dia akan mendapat balasannya," kata peminta sedekah itu.

"Apa maksud pak cik?" tanya Salmah.

"Apabila kamu pulang nanti, pasti kamu akan melihatnya," balas peminta sedekah.

Sejurus kemudian, Salmah pun pulang menuju ke rumahnya. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati rumahnya yang besar dan indah telah terbenam ke dalam tanah bersama-sama dengan bapa dan pembantu-pembantu mereka. Itulah balasan yang telah berlaku kepada saudagar kaya yang sombong dan tamak haloba.

Cheesy Shrimp Olio. Bahan-bahan: Bawang putih (cincang) Butter (unsalted) Oil (Olive oil) Parsley flakes Red bell pepper/capsi...